KUALA LUMPUR | Pahlawan negara terus bersiap siaga mempertahankan ibu pertiwi dan sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara serta rakyat tercinta.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak kira di darat, laut mahupun di awan biru, pahlawan negara sentiasa bersiap sedia.
“Alhamdulillah hari ini tanggal 31 Julai 2021, merupakan Hari Pahlawan yang disambut setiap tahun bagi mengenang jasa pahlawan negara yang tiada titik noktahnya.
“Tidak kira di darat, laut mahupun di awan biru, pahlawan kita terus bersiap siaga mempertahankan ibu pertiwi dan sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara serta rakyat tercinta.
Sesungguhnya, negara dan rakyat amat terhutang budi kepada pahlawan negara dan apa yang dinikmati pada hari ini tidak akan dapat kita capai tanpa pengorbanan pahlawan negara sejak sebelum merdeka hingga kini,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau berkata, jasa dan pengorbanan pahlawan negara akan terpahat dalam sebuah sejarah yang abadi.