KOTA BHARU | Pelbagai jenis rokok berjumlah 1.68 juta batang yang bernilai lebih RM1.4 juta termasuk cukai dirampas menerusi operasi bersepadu yang bermula Ahad lalu.
Operasi bersepadu oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan
bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) merampas rokok bernilai RM332,400 dan melibatkan cukai berjumlah RM1,142,040.
Pengarah JKDM Negeri Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, rokok itu dirampas menerusi dua buah lori yang ditahan dalam operasi itu.
“Sebaik lori itu ditahan, hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis rokok sebanyak 1.68 juta batang yang dianggarkan bernilai
“Kesemua rokok yang dirampas ini adalah untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan, khususnya di Pantai Timur.
“Pelbagai rokok yang dirampas, disyaki telah dibawa masuk secara haram dari luar negara ke Malaysia melalui sempadan Sungai Golok dan pesisir pantai negeri Kelantan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Rakbi berkata, pada operasi yang sama, pihaknya berjaya merampas sebuah kereta Mitsubishi Lancer yang dipercayai diseludup dari Singapura dan pemilik kenderaan juga turut ditahan.
“Anggaran nilai kereta itu adalah RM20,000 dan melibatkan cukai dianggarkan bernilai RM38,000.
“Kereta itu diseludup dari Singapura dengan menggunakan taktik mengklon kenderaan dari kenderaan asal yang didaftar di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“JKDM Negeri Kelantan masih menyiasat kes-kes yang melibatkan rampasan lori yang terlibat ke atas pemilikan rokok seludup dan kenderaan yang dibawa masuk dari negara jiran Singapura,” katanya.
Jelas beliau, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.
Beliau meminta orang ramai membantu pihak JKDM bagi memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta menasihatkan masyarakat supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.