KUCHING | Pendirian Kerajaan Negeri Sarawak selaras dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang mengisytiharkan pelanjutan tempoh darurat di negeri itu.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pengisytiharan itu juga selari dengan sikap kerajaan negeri sentiasa memberikan keutamaa kepada dua perkara iaitu menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat serta menegakkan amalan demokrasi.
“Merujuk kepada Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, kami menjunjung kasih terhadap dan memberikan sokongan penuh ke atas Proklamasi Darurat dan juga Ordinan Darurat bagi Negeri Sarawak yang akan berkuatkuasa mulai 2 Ogos sehingga 2 Februari 2022.
“Dengan Proklamasi Darurat di negeri ini, maka Pilihan Raya Negeri (PRN) yang perlu diadakan dalam masa tertentu bolehlah ditangguhkan sehingga satu tarikh apabila keadaan COVID-19 telah mencapai tahap selamat untuk mengadakan PRN,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, hari ini.
Menurut Abang Johari, kerajaan negeri juga mengucapkan setinggi terima kasih kepada Baginda atas kebijaksanaan dalam memastikan Pilihanraya Negeri boleh diadakan cuma apabila keadaan pandemik di Negeri ini sudah dapat dikawal dan tidak menjejaskan keselamatan rakyat Negeri ini.
“Namun, bagi memastikan amalan demokarasi berparlimen di jaga, mandat daripada rakyat Sarawak perlu didapatkan semula sebaik sahaja keadaan pandemik mengizinkan.
“Justeru itu, mengikut Ordinan, Darurat ini akan tamat pada 2 Februari 2022 atau boleh ditamatkan lebih awal oleh Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah menimbangkan pandangan daripada Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, dengan adanya peruntukan ini, maka akan terjamin bahawa mandat daripada rakyat akan diperolehi dengan segera sebaik sahaja keadaan pandemik ini dapat dikawal dan mengizinkan.
Katanya, yang penting ianya hanya akan berlaku sekiranya berdasarkan data saintifik dan nasihat profesional, keselamatan dan kesihatan rakyat Sarawak tidak akan dikompromi sebelum pilihan Raya Negeri diadakan.