KUALA LUMPUR | Rakyat Malaysia diseru meneliti dengan baik penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan mengenai situasi terkini.
Ketua Penerangan Parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan bersama berkata, terlalu banyak pihak yang cuba menganggu di air keruh dengan situasi yang terjadi.
Katanya, mereka berbuat demikian untuk kepentingan peribadi dan menyelamatkan diri.
“Hal ini termasuklah dengan mencipta berita-berita palsu dan mengeksploitasi situasi semasa melalui media sosial.
“Rakyat mesti peka dengan gerak kerja yang tidak bertanggungjawab ini, dan sentiasa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih untuk mengetahui situasi yang sebenar,” kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut juga turut menyatakan menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti yang dizahirkan baru-baru ini.
Katanya, titah Tuanku Agong memperlihatkan iltizam Baginda mahu memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti-parti dalam kerajaan serta ahli-ahli parlimen yang telah dengan tuntas menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Kabinetnya untuk terus memimpin negara mendepani cabaran Covid-19.
“Ini adalah keutamaan sebenar negara pada waktu ini, demi kebaikan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Kenyataan itu turut menyeru agar tumpuan dikembalikan kepada usaha menjaga kesihatan rakyat dan membina semula ekonomi negara melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional yang telah dirangka oleh Kerajaan.
“Sebagai jentera penerangan parti-parti dalam kerajaan, kami berikrar untuk terus membantu YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pucuk pimpinan semua parti menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, terutama dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat,” katanya.