KUALA LUMPUR | Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengambil sikap berkecuali dalam membuat keputusan berkaitan Peguam Negara.
Beliau berkata, pendirian itu diambil selepas menerima usul daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran berkenaan Tan Sri Idrus Harun.
“Sebagaimana yang diketahui umum, (Tan Sri) Idrus Harun ialah abang kandung saya. Oleh kerana itu, saya telah membuat keputusan untuk mengecualikan diri daripada membuat apa-apa keputusan mengenai, berkenaan ataupun yang bagaimana jua pun berkaitan dengan Usul tersebut.
“Apa-apa keputusan mengenai, berkenaan ataupun yang bagaimana jua pun berkaitan dengan Usul tersebut saya serahkan kepada Timbalan-timbalan Yang di-Pertua mengikut kedudukan kekananan mereka iaitu, pertamanya, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan keduanya Datuk Seri Azalina Othman Said,” katany dalam satu kenyataan hari ini.
Azhar Azizan berkata, beliau tidak akan campur tangan di dalam apa cara sekalipun di dalam pelaksanaan tugas Timbalan-timbalan Yang di-Pertua di dalam hal berkaitan.
Menerusi usul tersebut, Kulasegaran meminta supaya tindakan diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.
Menurut surat yang dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 29 Julai itu, Kulasegaran berkata, kenyataan tersebut merujuk kepada ucapan Takiyuddin di Parlimen pada 26, 27 dan 28 Julai yang turut dianggap menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Tindakan itu kata Kulasegaran dibuat mengikut Peraturan Tetap 26 (1) (p) dan 36 (12).