KUALA LUMPUR | Sebarang perkara berkaitan Proklamasi dan Ordinan Darurat akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Isnin ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sudah mengarahkan Takiyuddin untuk membuat penerangan berhubung perkara itu.
“(Soal darurat), Datuk Seri Takiyuddin akan membentangkannya sebab Speaker Dewan Rakyat (Azhar) sudah mengarahkan beliau membuat penjelasan.
“Ini kerana terlalu banyak persoalan (berkaitan darurat) dibangkitkan (sepanjang mesyuarat khas),” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pembentangan isu darurat pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Isnin ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bertarikh 29 Julai lalu, penerangan berkaitan pelaksanaan darurat akan dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Terdahulu, berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat bertarikh 26 Julai lalu, sesi penerangan berhubung darurat sepatutnya dibentangkan oleh Ismail Sabri.
Bagaimanapun, selepas pelbagai persoalan dibangkitkan selain mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat pembangkang berhubung perkara berkaitan darurat, Azhar mengarahkan Takiyuddin untuk membuat penjelasan mengenainya.
Perkara itu berlaku selepas Takiyuddin ketika hari pertama Mesyuarat Khaa Dewan Rakyat berlangsung, memaklumkan bahawa Ordinan Darurat sudah dibatalkan pada 21 Julai lalu. SUMBER: BERITA HARIAN