By Nik Amir
KOTA BHARU | Kelantan gagal mencipta kebangkitan apabila tunduk 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) II dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang tadi.
Skuad kendalian Marco Ragini yang turun dengan misi mencari kemenangan selepas tewas kepada PDRM FC empat hari lalu terpaksa akur dengan reputasi hebat kelab jiran tetangga itu.
Kekalahan tersebut menyaksikan Kelantan FC kekal di tangga keenam sementara TFC II yang masih kekal rekod tanpa kalah selepas 13 perlawanan merampas tangga kedua dengan 25 mata menyingkirkan Negeri Sembilan FC ke posisi ketiga.
Pelawat jelas tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila kapten mereka, Jordan Mintah yang menerima umpanan daripada rakannya tanpa diduga melakukan rembatan leret sekali gus melepasi jangkauan Mohamad Faridzuean Kamaruddin, pada minit ketujuh.
Ketinggalan satu gol, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat pemain tuan rumah sebaliknya mereka terus mengatur gerakan menerusi corak permainan pantas ke arah pintu gol lawan.
Bagaimanapun minit ke-16 menyaksikan Mintah sekali berpeluang untuk menambah tekanan ke atas tuan rumah namun dia gagal menewaskan Mohamad Faridzuean ketika berada situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Kelantan FC itu.
Skuad bimbingan Badrul Afzan Razali hampir menggandakan jaringan tetapi percubaan Muhammad Alif Zakaria hasil sepakan penjuru berjaya ditepis keluar Mohamad Faridzuean, pada minit ke-25.
Berbaki lima minit terakhir babak pertama, tuan rumah meningkatkan asakan tetapi gagal menyamakan kedudukan apabila tandukan Natanael Siringo Ringo tidak menepati sasaran untuk kedudukan 0-1 kekal memihak TFC II.
Anak buah Ragini kembali mempamerkan aksi menyakinkan sebaik bersambung babak kedua apabila mendominasi perlawanan menerusi gerakan daripada kedua-dua sayap mereka.
Situasi itu memaksa TFC II memasukkan dua pemain serentak iaitu Masaki Watanabe dan Muhamad Muslihuddin Atiq Mat Zaid pada minit ke-56 bagi mengimbangi permainan pantas tuan rumah.
Peluang terbaik tuan rumah untuk menyamakan kedudukan menjelma tiga minit kemudian apabila sepakan penjuru dilakukan Mohd Haziq Subri singgah kepada Nurshamil Abd Ghani namun tolakan penyerang itu dikeluarkan pertahanan lawan di depan pintu gol mereka.
Bagaimanapun, pelawat berjaya menjadikan kedudukan 2-0 apabila percubaan luar kotak penalti Muhammad Izman Solehin Rohadi yang ditampan penjaga gol Kelantan FC disambar Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali menerusi satu tolakan mudah, pada minit ke-79.