KUALA LUMPUR | Sebanyak 23 lokaliti di Terengganu dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Selasa hingga 16 Ogos ini.
Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata daripada jumlah itu, 21 lokaliti yang dikenakan PKPD adalah di Terengganu membabitkan Mukim Kuala Dungun dan Mukim Sura.
Katanya, sembilan lokaliti di Mukim Kuala Dungun membabitkan Kubang Miang; Teratai; Teluk Lipat; Alor Tembesu; Sura Utara; Batu 48; Sura Gate; Bukit Chatak; dan Tembesu Akar.
“11 lagi lokaliti di Mukim Sura pula membabitkan di Batu 5; Sura Tengah; Alor Tempoyak; Taman Rakyat Jaya; Taman Delima Batu 6; Balai Besar; Sura Melati; Batu 7; Paya Balai Besar; Pak Sabah; dan Sura Lapangan Terbang.
“Satu lagi lokaliti di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan, Mukim Jabi, Besut.
“Di Sabah pula, Perumahan Ladang Hibumas 2, Mukim Sungai-Sungai; dan Kampung Tagibang, Kota Marudu dikenakan PKPD bagi tempoh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, sebanyak enam lokaliti termasuk Kelantan dan Sabah dilanjutkan PKPD dari Selasa hingga 16 Ogos ini.
Katanya, di Kelantan, dua lokaliti dilanjutkan di Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh membabitkan Kampung Lepah dan Kampung Alor Hijau.
“Di Sabah pula membabitkan Ladang Agathis, Kalabakan; Kampung Nosoob, Penampang; Kampung Gusung, Likas; dan Kampung Bakalau, Beaufort,” katanya.
Tamat