KOTA BHARU | Penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat esok diputuskan atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah selepas penilaian risiko berikutan peningkatan kes dikesan di Parlimen sejak Isnin lalu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata keadaan lebih membimbangkan apabila Ahli Parlimen datang daripada 222 kawasan ke zon merah (Kuala Lumpur) sebelum kembali ke kawasan mereka.
Menurutnya, beliau bimbang sekiranya timbul kluster Parlimen yang mungkin akan merebak lebih teruk di kawasan lain.
“Ahli Parlimen diberi kelonggaran merentas negeri untuk hadir bersidang menyebabkan kita seolah-olah mengizinkan wabak merebak.
“Keadaan ini memaksa Kementerian Kesihatan terpaksa membuat penilaian sebelum merasakan sidang Dewan Rakyat tidak perlu bersidang.
“Soal nyawa tidak boleh dibawa main, tambahan pula wujudnya varian baharu yang lebih bahaya,” katanya ketika ditemui disini, hari ini.
Katanya, seramai 23 pegawai pengiring Ahli Parlimen didapati positif Covid-19 walaupun pihaknya sudah membuat saringan, namun wabak tetap merebak.
Katanya, angka jangkitan terus meningkat sehingga menimbulkan persoalan sejauhmana Parlimen selamat untuk bersidang.
“Kalau diikutkan peraturan, jika terdapat lebih 40 positif di satu lokaliti, maka tempat itu perlu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Maka Parlimen juga perlu dikenakan PKPD, namun ia bergantung kepada Jabatan Kesihatan.
“Cuma perlu difahami, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diadakan selepas Speaker terpaksa meminta peraturan khas untuk mengecualikan pembukaan Parlimen daripada undang-undang.
“Ketua Pengarah Kesihatan sudah memberi kelonggaran tapi kita langgar juga misalnya apabila diberi pilihan suoaya tiada sidang langsung diadakan atau jika ada, masa yang diambil tidak terlalu lama.
“Namun, akhirnya ramai yang mendesak menyambung sidang sehingga masa diambil terlalu lama iaitu jam 5.30 petang,” katanya.