KUALA LUMPUR | “Terima kasih buat Dhabitah kerana telah mempamerkan aksi yang penuh bertenaga serta konsisten ketika beraksi di final 3 meter terjun papan anjal individu wanita hari ini,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Beliau berkata, Nur Dhabitah Sabri, 22, menamatkan saingan dengan berada di tempat ke-4 dengan catatan 326.15 mata.
Katanya, ini merupakan kedudukan yang lebih baik berbanding di peringkat semi final.
“Semestinya ini merupakan pencapaian yang patut dibanggakan apabila dapat beraksi antara 12 penerjun terbaik dunia di pentas final Olimpik.
“Dhabitah mungkin tidak memenangi pingat gangsa, namun dia memenangi hati kita,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau berharap, Dhabitah tidak putus asa dan teruskan usaha.
“Saya yakin Dhabitah boleh lawam (beat) mereka di kejohanan akan datang,” katanya.