KUALA LUMPUR | Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan kebocoran surat Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Ketua DPPM, Ahmad Fadhli Shaari berkata, surat bertarikh 29 Julai yang tular itu adalah satu oerkara yang amat serius dan menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
Katanya, jika surat tersebut jika benar wujud tentunya merupakan surat rahsia dan terhad, yang sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerimanya sahaja iaitu Perdana Menteri.
“Tindakan menyebarkan surat tersebut kepada umum, yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan Pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi.
“Sedangkan Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam. Oleh itu, penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Fadhli berkata, tindakan ini juga telah menimbulkan polemik dan kekecohan dalam kalangan masyarakat, serta menampakkan seolah berlakunya krisis di antara Istana dan Eksekutif.
Katanya, sepatutnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukan dimarakkan lagi pertembungan.
“Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius perkara ini dan menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat ini.
“Suatu laporan polis akan dibuat bagi menggesa siasatan dibuat, untuk melihat samada wujudnya unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran surat tersebut. Dewan Pemuda PAS Malaysia turut mengarahkan semua Dewan Pemuda PAS Negeri dan Kawasan untuk membuat laporan polis tersebut,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh pandemik, seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan.
“Pemuda PAS mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini, semata demi memuaskan nafsu serakah politik.
“Pemuda PAS mengajak agar semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh ini,” katanya.