by Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Jumlah vaksinasi harian COVID-19 di negara ini mencatat angka melebihi 500,000 dos selama enam hari berturut-turut dengan 519,111 dos suntikan diberikan, semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah yang diberikan semalam, sebanyak 316,492 adalah dos pertama manakala 202,619 lagi dos kedua.
Katanya, secara kumulatif, sebanyak 20,533,660 dos sudah diberikan kepada penduduk di negara ini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Februari lalu hingga semalam.
Daripada jumlah itu, sebanyak 13,816,971 adalah suntikan vaksin dos pertama, manakala 6,716,689 lagi adalah dos kedua.
“Mengikut peratusan, 42.3 peratus daripada populasi negara sudah mendapat dos pertama, manakala 20.6 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Twitternya.
Jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menunjukkan, Wilayah Persekutuan Labuan masih mencatatkan jumlah tertinggi dengan populasi dewasanya iaitu seramai 55,022 orang atau 80.3 peratus sudah menerima dos kedua, manakala 62,533 individu atau 91.3 peratus mendapat dos pertama.