By Nik Amir
KOTA BHARU | “Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada pemain,” Itu luahan Ketua Jurulatih Kelantan FC, Marco Ragini selepas kelab kendaliannya tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) II dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada petang Sabtu.
Ragini mengakui kesilapan paling jelas sekali dilakukan barisan pemainnya adalah memberi “hadiah besar” kepada TFC II dengan membenarkan pasukan lawan mendominasi permainan lebih awal.
“Kami tidak bermain bola dalam 20 minit pertama, saya tidak tahu mengapa kerana kami bekerja keras dalam latihan, (malah) kami bersedia untuk menghadapi perlawanan sepanjang masa.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada pemain, ini bukan pertama kali kami beri 20 hingga 25 minit (pasukan lawan kuasai permainan) dalam babak pertama,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan itu.
Pada pertemuan itu, jaringan kapten Jordan Mintah seawal minit ketujuh dan pemain gantian, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali pada minit ke-79 memastikan TFC II menang bergaya 2-0 mengatasi tuan rumah.
Lebih menghairankan pengendali import itu, sudah tiga perlawanan termasuk pertemuan dengan TFC II anak buahnya membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol terlebih dahulu sehingga menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk bangkit memberi tentangan.
“Setiap perlawanan mereka (pelawat) dapat melakukan percubaan tepat (jaringkan gol), satu kali satu gol, dua kali dua gol dan pada pandangan saya lima belas minit terakhir babak pertama dan dalam babak kedua kami beraksi lebih baik berbanding TFC II.
“Kami cipta banyak berbanding perlawanan lalu (PDRM FC) langsung tidak ada apa-apa. Kami bermain dengan baik tetapi dalam bola sepak yang penting adalah keputusan akhir. Ia ternyata tidak menyebelahi kami, hari ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, pengendali TFC II, Badrul Afzan Razali memberitahu ia bukan satu pertemuan mudah menentang Kelantan FC dan kredit perlu diberikan kepada barisan pemain yang berusaha keras mencapai kemenangan tersebut.
“Kita tahu Kelantan FC ni akan berjuang habis-habisan, dalam dua perlawanan lalu kita tengok lawan Skuad Projek FAM-MSN dalam 10 minit terakhir mereka berjaya menyamakan dan gol kemenangan hadir pada saat-saat akhir.
“Saya tahu perkara seperti ini boleh berlaku ke atas kami, jadi saya ingatkan pemain jangan ambil mudah, jangan terlampau yakin dan kena berhati-hati bermain di tempat lawan, kita cuba kekalkan rekod tanpa kalah dan Alhamdulillah kita berjaya, hari ini,” jelasnya.