KUALA LUMPUR | Mengambilkira hasil penilaian risiko semasa dan pencegahan penularan jangkitan Covid-19 dari berlaku di Parlimen, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat ditangguhkan sementara selama dua minggu bermula 29 Julai.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sesi mesyuarat itu termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang atau melibatkan individu yang berada di Parlimen.
Beliau berkata, semua individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai lalu dinasihatkan untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.
Menurutnya, sekiranya mengalami gejala, sila menjalani pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing.
“Mengambilkira sidang ini membabitkan ramai individu berkumpul dari seluruh negara dan memberi risiko tinggi penularan jangkitan COVID-19 terutama di kala varian delta merebak di dalam komuniti selain situasi peningkatan kes semakin melarat, KKM sememangnya bimbang sekiranya berlaku penularan jangkitan di Parlimen.
“Sebelum Sidang Khas Parlimen bermula, daripada seramai 2,093 individu yang menjalani saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR), 60 kess positif Covid-19 tidak hadir ke Parlimen sejak hari pertama sidang berlangsung.
“Namun, pada 29 Julai, dua kes positif Covid-19 didapati hadir ke Parlimen menyebabkan KKM menjalankan saringan ke atas 1,183 individu sebelum sembila lagi daripada mereka turut positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, setakat itu seramai 48 kontak rapat dikenalpasti, namun siasatan masih lagi diteruskan.
“Pada 30 Julai, saringan pra-persidangan Dewan Negara telah dijalankan ke atas 100 individu menggunakan ujian RT-PCR dan mendapati sembilan kes lagi positif Covid-19.
“Penularan itu berlaku apabila keadaan dewan Parlimen yang bertutup meningkatkan risiko penularan jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 tersebar melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam.
“Tempoh berada dalam dewan dan sekitar Parlimen yang panjang memberi risiko pendedahan berulang selain perkongsian kemudahan asas seperti tandas, surau, kafe dan sebagainya oleh ramai individu termasuk kes,” katanya.
Menurutnya, faktor penjarakan fizikal dalam dewan kurang dari satu meter antara satu sama lain walaupun terdapat penghadang meja turut menjadi faktor penularan selain perkumpulan kecil kerap berlaku.
“Terdapat enam kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan bergejala yang memberi risiko berlaku penularan jangkitan dan berpotensi menjadi ‘superspreader’,” katanya.
Tamat