SELAMA | Seramai 1,032 penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Hulu Selama, Kampung Batu 19 1/2 dan Kampung Batu 20, di sini di sini, menerima bakul makanan.
Bakul makanan itu disampaikan oleh
Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam untuk meringankan beban.
“Saya melawat dan seterusnya menyampaikan bantuan bakul makanan buat penduduk di kawasan PKPD itu. Lebih 1,000 penduduk dalam kawasan PKPD tersebut disantuni menerusi program kebajikan Op Bantu.
“Bantuan bekalan makanan basah dan kering diberikan secara berterusan bermula Jumaat lalu kepada semua penduduk yang terlibat dengan pelaksanaan PKPD di Ulu Selama.
“Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar kita dikurniakan kekuatan dan perlindungan bagi menghadapi ujian ini. Terima kasih kepada barisan petugas hadapan yang menjalankan tugas serta amanah dengan cekal dan ikhlas,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya di sini.
Turut serta dalam lawatan, Ketua Setiausaha KDN Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Pada masa yang sama beliau turut memberikan sumbangan menerusi Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan (TAPPN) sebanyak RM 26,278 kepada Ida Marsita iaitu balu kepada Pegawai Penjara, Allahyarham Mohamd Nasrul yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 semasa menjalankan tugas.