KOTA BHARU | Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan RM15.6 juta untuk Program Bantuan MAIK yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Yang di-Pertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Abdul Aziz berkata, program yang akan dilancarkan itu adalah kelangsungan daripada Program Prihatin MAIK COVID-19 dan menggunakan peruntukkan Wang Ehsan Negeri Kelantan.
Katanya, untuk program kali ini, terdapat tiga pakej utama iaitu Bantuan Prihatin dan Perangsang MAIK serta Projek Pemangkin Kontraktor Kecil.
“Bantuan Prihatin MAIK memperuntukkan sejumlah RM 6.1 juta, dengan mensasarkan penerima dalam kalangan ibu tunggal, pesakit kronik atau terlantar serta mereka yang hilang pekerjaan serta sumber pendapatan.
“Bantuan ini dijangka dapat memanfaatkan 30,500 orang penerima melibatkan orang Islam serta bukan Islam, termasuk kategori B40 dan M40 yang terkesan.
“Penerima bantuan ini akan mendapat manfaat dalam bentuk barangan keperluan dan wang tunai. Penerimaan dan penyaluran peruntukan ini akan diuruskan melalui Ketua Jajahan dengan kerjasama imam-imam Masjid Bandar dan Mukim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, selain itu sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan kepada pakej Bantuan Perangsang MAIK.
Katanya, pakej ini melibatkan penggiat ekonomi seperti penjaja; peniaga kecil; pengusaha teksi, beca, e-hailing, bas serta van sekolah dan golongan petani, peladang kecil serta nelayan.
“Bantuan ini bagi membantu penggiat ekonomi berskala kecil, meneruskan kembali perniagaan atau aktiviti mereka yang tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kumpulan yang disenaraikan ini akan layak menerima bantuan secara tunai. Pemilihan dan penyaluran bantuan ini juga akan diselaraskan oleh Ketua Jajahan seluruh Negeri Kelantan.
“Selain itu RM1 juta diperuntukkan bagi lain-lain agihan yang pihak MAIK sudah berikan dari semasa ke semasa,” katanya.
Mohamad Rizam berkata, bagi Projek Pemangkin Kontraktor Kecil akan melibatkan peruntukan berjumlah RM 3 juta pula dijangka dapat membantu kontraktor Kelas G-1 yang berdaftar dengan MAIK.
“Seramai 100 orang kontraktor akan mendapat manfaat dalam kerja membaiki, membaik puloh rumah asnaf MAIK berjumlah RM1 juta. Pemilihan penerima dan kontraktor akan dilakukan bersama pihak MAIK dan Pejabat Tanah Dan Jajahan.
“Bagi kerja-kerja pembaikian kecil dan pembekalan keperluan asas surau serta madrasah, yang bernilai RM 2 juta dijangka memberi impak kepada 150 orang kontraktor.
“Bantuan ini disifatkan sebagai serampang dua mata kerana selain memastikan rumah-rumah asnaf, surau dan madrasah berada dalam keadaan selesa serta selamat untuk digunakan ia juga membantu kontraktor-kontraktor kecil sedikit bernafas setelah masa suram yang panjang,” katanya.
Menurutnya, program bantuan pada kali ini lebih holistik dan menyeluruh kerana ia tidak hanya melibatkan asnaf bahkan segmen kumpulan M40, termasuk bukan Islam turut disantuni.
Ujarnya, pihak MAIK merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan Malaysia, agensi-agensi awam dan swasta serta individu yang saban tahun terus memberikan kepercayaan kepada MAIK, samada secara langsung atau tidak langsung, bagi menguruskan program- program bantuan di Negeri Kelantan.
“Semoga kita terus istiqamah bermunajat memohon rahmat dan keampunan dari-Nya supaya kita segera dihindarkan dari musibah ini.
“Sentiasalah kita mematuhi arahan, peraturan dan prosedur operasi standard yang dikeluarkan, ke arah mengawal serta mewujudkan imunisasi kelompok dengan lebih berkesan,” katanya.