PASIR MAS | Penoreh getah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap empat pertuduhan merogol adik iparnya yang juga orang kurang upaya (OKU) mental, pada 2018 dan Julai tahun ini.
Tertuduh yang berusia 54 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol adik iparnya yang ketika kejadian pada 2018 berusia 15 tahun dan mengetahui tentang kecacatan mental mangsa di sebuah rumah di Tanah Merah pada jam 6.30 petang, hujung Oktober 2018.
Pertuduhan kedua hingga keempat, lelaki itu didakwa merogol mangsa sama yang kini berusia 18 tahun, pada Julai tahun ini.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah masing-masing pada jam 10.30 pagi, 1 Julai 2021; 9 pagi pada 2 Julai 2021 dan 10 pagi, 7 Julai 2021.
Empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira hubungan mangsa dengan tertuduh iaitu abang ipar dan adik ipar.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 15 Ogos ini sebagai tarikh untuk jatuh hukum.