By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada kepada pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menghadiahkan pingat pertama kontinjen negara pada temasya Olimpik Tokyo, semalam.
Muhyiddin berkata, kemenangan dan sumbangan pingat itu amat diharap serta dinanti-nantikan oleh seluruh peminat sukan tanah air.
“Pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diraih malam tadi tentunya mampu menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada atlet-atlet negara yang lain untuk memburu kilauan pingat seterusnya.
“Tahniah saya ucapkan kepada pasangan Aaron Chia-Wooi Yik, serta barisan kejurulatihan atas sumbangan pingat sulung buat kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo ini,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Beliau berkata, buat pasangan muda itu, teruskan usaha dan berjuanglah demi negara.
“Anda telah membuktikan yang negara boleh menaruh harapan kepada anda. Tahniah, anda kebanggaan Malaysia,” katanya.
Pasangan beregu lelaki negara itu menewaskan gandingan handalan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 pada penentuan pingat gangsa semalam.