KUALA LUMPUR | Pihak polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan sebarang perhimpunan dan berhimpun di sekitar ibu negara kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis menerima satu laporan berhubung perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di sekitar Dataran Merdeka, di sini, semalam.
Katanya, siasatan sedang dijalankan dan kesemu individu itu telah dikenal pasti akan dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dalam masa terdekat.
“Mereka akan dikenakan kompaun atas kesalahan di bawah Seksyen 21A Akta 342 sekiranya cukup keterangan. Tindakan juga dikenakan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDBP) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
“Dianggarkan 450 individu dikesan berkumpul di dataran Masjid Jamek di sini, kira-kira jam 10.30 pagi semalam sebelum sejam kemudian berarak melalui Jalan Tun Perak ke Jalan Raja.
“Kumpulan itu turut membawa kain-kain rentang dan perhimpunan berlangsung kira-kira dua jam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Terdahulu, kira-kira 400 individu berarak dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek menuju ke Dataran Merdeka, semalam.
Pada perkembangan yang sama, Azmi berkata, pihaknya mengesan satu video tular menunjukkan perarakan beramai-ramai di sebatang jalan yang dikatakan berlaku di Kuala Lumpur.
“Semakan polis mendapati kejadian itu bukan berlaku di Kuala Lumpur dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan sesuatu perkara yang tidak sahih kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran masyarakat.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi SOP PPN dan tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan memandangkan ancaman pandemik COVID-19 yang masih melanda negara kita,” katanya.