KUALA PERLIS | Jenazah seorang wanita pesakit COVID-19 berusia 74 tahun selamat dibawa masuk ke Pulau Langkawi Khamis lalu.
Jenazah berkenaan dibawa ke Pulau Langkawi selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyyah, Alor Star, Kedah.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban Pulau Pinang, Superintendan Shopri Saad berkata, sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) telah diatur gerak pada jam 8.20 malam.
Katanya, sepasukan empat anggota PPM Langkawi bersama dua anggota Balai Polis Kuah dan seorang Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi telah membantu membawa jenazah berkenaan dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi pada jam 8 malam.
“Sepanjang penugasan dijalankan, setiap anggota yang terlibat berpakaian lengkap alat perlindungan peribadi (PPE) bagi mengambil langkah keselamatan daripada penularan wabak COVID-19.
“Jenazah tiba di Pulau Langkawi untuk urusan pengebumian,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.