KOTA BHARU | Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan disasarkan akan mencapai 80 peratus imuniti kelompok sebelum 31 Ogos ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya menyasarkan Wilayah Persekutuan mencapai sasaran itu lebih awal berikutan terdapat banyak aktiviti ekonomi yang boleh dibuka nanti.
Katanya, buat masa ini, hanya Labuan sudah sasaran 80 peratus imuniti kelompok.
“Sekarang kita beri tumpuan kepada Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk capai sasaran. Namun, kita juga perlu bantu Selangor kerana Wilayah Persekutuan berasa ditengah-tengah.
“Cuma kita nak Kuala Lumpur dan Putrajaya capai 80 peratus pada Ogos ini. Suntikan pertama di Kuala Lumpur sudah melepasi 90 peratus dan suntikan kedua sedang berjalan.
“Kita jangka Kuala Lumpur akan capai 80 peratus imuniti pada minggu kedua Ogos ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Vaksinasi Oghe Parlimen Terre di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini, hari ini.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata sebanyak 10,000 vaksin Pfizer disediakan dengan kadar 1,500 dos sehari untuk selama lapan hari bermula hari ini.
Katanya, program ini satu usaha untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada penduduk dewasa Parlimen Ketereh.
“Selain mendapat kelulusan Penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), kita juga mendapat kerjasama daripada doktor swasta yang dibiayai sendiri kosnya,” katanya.