KUALA LUMPUR | Persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Majlis Dewan Negara yang berjadual dari 3 hingga 5 Ogos, ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Perkara itu dinyatakan menerusi satu notis yang ditandatangani Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah, untuk diberikan kepada semua Ahli Parlimen.
Menurut notis itu, Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim menerima satu pemakluman mengenai penangguhan itu daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai.
“Pemakluman yang dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 10(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.
“Penangguhan ini dibuat selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19.
“KKM berpendapat bahawa Parlimen merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” menurut notis itu yang dikeluarkan hari ini.
Oleh itu, kata notis itu lagi, dikemukakan pemberitahu penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Negara ini untuk perhatian dan makluman Ahli Yang Berhormat jua.
Tamat