KOTA BHARU | Tiada soal perderhakaan berlaku berhubung pembatalan Ordinan Darurat, sebaliknya isu itu sengaja dipolitikkan oleh pihak pembangkang, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berjelaskan proses pembatalan ordinan darurat ketika ini masih berjalan mengikut peraturan-peraturan biasa, namun disalah faham oleh orang lain.
“Saya ingin jelaskan pembatalkan Ordinan Darurat diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada 21 Julai lalu, namun ia belum diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong. Ia dibuat selepas Majlis Raja-Raja perpandangan tidak perlu sambung darurat.
“Dalam kes ini, kita mempunyai jawatankuasa khas untuk memutuskan sambung (darurat) atau tidak, namun mereka belum sempat memberi pandangan sebelum Majlis Raja-Raja membuat keputusan. Ini membuatkan kerajaan berasa serba salah.
“Ini kerana, ketika darurat diisytiharkan, kes Covid-19 berjumlah 3,000 kes, tapi sekarang 17,000 kes, nak tamatkan darurat pula. Namun tidak mahu derhaka, kerajaan mengadakan perbincangan terlebih dahulu.
“Pada 21 Julai, kita mesyurat untuk sempurnakan pandangan dan titah (tidak sambung darurat) daripda Majlis Raja-Raja sebelum keesokan hari satu draf pembatalan Ordinan dibuat Peguam Negara,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Jelasnya, Ordinan dipanggil disebabkan pengistyharan darurat dibuat bukan dalam proses Parlimen.
Katanya, pada 23 Julai, Perdana Menteri mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum Tuanku menitahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan lanjut pda keesokkan hari.
“Pada 26 Julai pula, Parlimen bersidang namun pihak pembangkang bermain politik tidak mahu bincang mengenai Covid-19 dan pemulihan, sebaliknya terus mendesak Takiyuddin serta mempertikai pendirian kerajaan.
“Maka Takiyuddin memaklumkan keputusan kerajaan namun proses masih berjalan….tidak muktamad disitu. Ini kerana Perdana Menteri perlu nasihatkan Agong, bukannya boleh memaksa Tuanku.
“Perdana Menteri dengan Yang di-Pertuan Agong sentiasa berkomunikasi dan setiap kali mesyuarat Kabinet, agenda utama yang diutarakan adalah titah Tuanku.
“Jadi dimana derhakanya apabila kami sentiasa bincang dan laksanakan titah Tuanku. Cuma apa yang berlaku adalah salah faham saja,” katanya.
Dalam siatem politik, menurutnya, institusi Agong perkara yang perlu dijaga dengan baik dan menjadi tanggungjawab kerajaan menjaga kemuliaan dan kedudukan Tuanku.
“Setiap pandangan Agong diberikan kepada kerajaan akan diberi perhatian serius,” katanya.