PASIR MAS | Seorang tukang rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan memiliki satu ekor pari, minggu lalu.
Tertuduh, Abdul Halim Samsuddin, 26, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan selepas membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki senjata berbahaya satu ekor ikan pari berukuran lebih kurang 114 sentimeter tanpa maksud yang sah di tempat awam, iaitu di kawasan semak tepi Sungai Kelantan, Kampung Sat, dekat Tanah Merah, jam 2 petang, pada 26 Julai 2021.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun sehingga 10 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman yang yang sesuai dengan kesalahan dan boleh menyedarkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu serta boleh menyampaikan mesej kepada orang awam.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon satu hukuman yang ringan.