KUALA LUMPUR | Polis akan memanggil pengusaha kosmetik untuk membantu siasatan selepas dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengusaha kosmetik berkenaan bersama beberapa individu lain didapati menikmati durian ketika bersiaran langsung di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, siasatan itu susulan pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada 4 petang semalam.
Katanya, tangkap layar dari media sosial seorang individu tular jam 1.10 tengah hari Jumaat lalu berkaitan selebriti pengusaha kosmetik itu sedang bersiaran langsung sambil menikmati durian bersama beberapa individu.
“Tangkap layar itu dikongsi lebih kurang 4,000 kali di media sosial berserta komen yang menanda akuan media sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menggesa tindakan diambil terhadap pengusaha kosmetik itu.
“Pengusaha kosmetik itu adalah seorang selebriti terkenal dan mempunyai ramai pengikut di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, penularan tangkap layar video itu mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat kerana melanggar SOP Fasa Satu PPN.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP selain berhati-hati memuat naik atau berkongsi apa-apa kenyataan atau kandungan di media sosial supaya tidak mewujudkan satu spekulasi negatif yang boleh mendatangkan fitnah atau kemudaratan kepada ketenteraman awam.