By Nor Shazleza Shahril
PUTRAJAYA | Kerajaan mensasarkan pemberian vaksin sebanyak 40 peratus dalam kalangan penduduk dewasa menjelang Hari Kebangsaan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) akan menggunakan dua kriteria untuk penghantaran vaksin ke negeri bagi mengimbangi kadar pemberian vaksin di negeri yang merekodkan kapasiti pelalian yang terendah.
Katanya, dua kriteria itu adalah kawalan wabak iaitu menghantar vaksin di negeri yang mengalami peningkatan kes positif COVID-19 dan penghantaran vaksin di negeri yang kadar suntikan masih rendah.
“Ia bagi membolehkan nilai ambang 40 peratus daripada penduduk dewasa di seluruh negara yang lengkap dua dos, dapat dicapai menjelang 31 Ogos ini.
“Ia supaya untuk Ogos ini, semua negeri dapat menyamai negeri lain, dengan tujuan semua negeri akan dapat sampai ke nilai ambang 40 peratus daripada populasi dewasa dapat lengkap menerima dua dos pada Hari Merdeka,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.