KUALA LUMPUR | Empat sampel positif COVID-19 di Parlimen disahkan sebagai varian Delta atau Kappa.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menganalisa empat sampel RT PCR kes positif COVID-19, hasil daripada saringan di Parlimen .
Katanya, ia untuk melakukan jujukan genom penuh (whole genomic sequencing) ke atas sampel yang telah diterima daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh dan keputusan mendapati kesemua empat sampel adalah mutasi spike protein yang dikenal pasti wujud pada varian Delta atau varian Kappa.
“Namun, berdasarkan variant of concern (VOC) yang sedang menular di dalam komuniti, ianya berkemungkinan besar adalah varian Delta.
“Kajian klinikal di luar negara serta
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), telah melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta, mempunyai kandungan virus yang 1,200 kali lebih tinggi berbanding kes yang dijangkiti dengan varian biasa (non-VOC).
“Penjujukan genom penuh (whole genomic sequencing) akan terus dijalankan bagi pengesahan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.