By Nor Shazleza Shahril
PUTRAJAYA | Kementerian Kesihatan (KKM) masih menggunakan sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) bagi membolehkan kawasan berpotensi menjadi kluster dikenalpasti lebih awal.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, namun data membabitkan HIDE tidak didedahkan kepada umum berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi berkuatkuasa.
“Kita masih menggunakan HIDE di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) dan KKM.
“Ia masih digunakan bagi memberi amaran mengenai kawasan yang berkemungkinan menjadi kluster,” katanya pada sidang media mingguan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), secara maya, hari ini.
Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya berpandangan kawasan Lembah Klang sedang menuju kemuncak kes positif harian dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu ini.
“Walaubagaimanapun, kita berharap agar selepas itu ia akan mulai menunjukkan penurunan.
Ditanya mengenai keberkesanan vaksin COVID-19 dalam mengurangkan pesakit kategori 4 dan 5, Khairy berkata, pihaknya akan mendapatkan data terperinci mengenai pesakit yang dikesan ketika ini.