By Ismail Muhamad
TUMPAT | Seorang ibu tunggal dua anak meneruskan kelangsungan hidupnya sekeluarga dengan menjual pelbagai jenis durian di gerai milik keluarganya di Pengkalan Kubor dekat sini.
Tengku Nor Amira Tengku Razaman, 31, berkata, dia mampu memperoleh hasil jualan sebanyak RM5,000 sehari dengan menjual durian antara RM1 hingga RM2 sekilogram itu.
Katanya, dia bersyukur kerana jualan durian laris dalam masa tiga jam bermula 8 pagi.
“Durian yang dijual itu mampu dibeli penduduk kerana dijual dengan harga yang murah.
“Alhamdulillah rezeki saya jual durian dapatlah sara hidup keluarga ketika pandemik Covid 19,” katanya ketika ditemui di gerai milik keluarganya di Pengkalan Kubor di sini, semalam.
Tengku Nor Amira berkata, sebelum ini, dia bekerja sebagai pencuci kolam udang di Selangor, selama setahun tetapi ditutup untuk sementara waktu kerana pandemik Covid-19.
Katanya, oleh kerana itu, dia pulang ke kampung dan abang kandungnya, Tengku Mohd Farid, 33, turut membantu dengan memberi modal awal untuk berniaga durian dengan menumpang di gerai milik keluarga.
“Saya menjual durian bermula sejak April lalu hingga sekarang dan syukur kerana dapat sambutan yang baik kerana ramai pelanggan datang membeli raja buah di gerai milik keluarga saya ini.
“Saya mampu menjual sebanyak 3,000 hingga 4,000 kilogram durian dengan hasil jualan RM5,000 sehari,” katanya.
Dia berkata, turut berniaga di gerai itu abang kandungnya termasuk lima ahli keluarga yang menjual manggis dan rambutan.
Menurutnya, dia mendapatkan bekalan durian dari Jeli selain Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjung, di sini, sebelum dijual di gerai milik keluarganya.
Dia yang mempunyai dua anak berumur tujuh dan 13 tahun berkata, pelbagai jenis durian antaranya jenis kampung, Cheni dan campuran yang dijual kepada pelanggan dan harganya berbeza mengikut gred raja buah itu.
“Sebelum ini jualan buah durian itu juga mampu dijual sehari sehingga mencecah RM15,000 tetapi disebabkan harganya sekarang sudah menjunam, jadi hasil jualannya juga menurun.
“Saya akan berniaga tembikai selepas musim durian berakhir dan saya juga tidak tolak kemungkinan berniaga di kedai makan pada masa akan datang,” katanya.