KOTA BHARU | Selepas beberapa hari tular, akhirnya Kampung Tok Sadang, Mukim Badang di Kota Bharu Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu ini hingga 17 Ogos.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, PKPD akan dilaksanakan beberapa lokaliti termasuk di Kampung Tok Sadang, Mukim Badang di Kota Bharu Kelantan.
“PKPD bermula 4 Ogos sehingga 17 Ogos ini,” katanya.
Turut dikenakan PKPD adalah di Kampung Belian, Mukim Sungai Pinang di Tumpat.
Berdasarkan infografik Jabatan Kesihatan Kelantan, jumlah positif COVID-19 di negeri ini bertambah kepada 552 kes baharu berbanding 459 kelmarin.
Sementara itu, statistik jangkitan di Mukim Badang semalam menunjukkan 15 kes baharu telah dikesan manakala hari ini terdapat 14 kes positif.
Dalam perkembangan sama, kesemua 10 jajahan di Kelantan diisytiharkan sebagai zon merah.
Di Kota Bharu pula, sebanyak 177 kes baharu direkodkan hari ini.
Journal Malaysia juga mengharapkan kesemua penduduk yang berada dalam Kampung Tok Sadang Mukim Badan mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang PKPD dikuatkuasakan.