MIRI | Maritim Malaysia Zon Maritim Miri telah menahan sebuah kapal tangki minyak bersama tiga kru di perairan di sini kerana gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi bin Othman berkata, tangkapan pada kali ini adalah hasil maklumat risikan.
Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai pelanggaran undang-undang oleh vesel-vesel di perairan Miri.
“Sebaik menerima maklumat, Bot Kilat 41 telah mengesan sebuah kapal tangki yang disyaki dan mencurigakan sekitar jarak lebih kurang lapan batu nautika dari barat Kuala Niah, pada jam lebih kurang 2.00 petang kelmarin.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut dikendalikan tiga kru lelaki warga tempatan berumur lingkungan 17 hingga 43 tahun, telah gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan (Port Clearance) yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Maritim Malaysia bertindak menahan kapal terbabit sebelum diiring masuk ke Jeti Pusat Tanahan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.
“Kapal ditahan itu berisi muatan diesel beranggaran 15,000 liter.
“Kes akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan (Port Clearance) yang sah,” katanya.
Beliau berkata, untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.