KOTA BHARU | Ahli Parlimen (MP) dan individu yang terbabit dalam perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka, di ibu negara, pagi tadi dianggap mencabuli prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, sepatutnya sebagai pemimpin, mereka perlu menunjukkan sikap kepimpinan kepada masyarakat.
Katanya, tindakan mereka yang berkumpul seolah-olah tidak mempedulikan SOP yang ditetapkan kerajaan di mana tidak dibenarkan berhimpun.
“Kita berharap, mereka diambil tindakan termasuk diberikan kompaun yang maksimum.
“Perhimpunan mereka pagi tadi seolah-olah sudah dirancang kerana mempunyai kain rentang dan turut membuat sidang media.
“Mereka bercadang untuk berarak, tapi di sekat oleh polis. Jadi perarakan mereka gagal,” katanya ketika ditemui di Pejabat Koperasi Wawasan Malaysia Berhad di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu berkata, perbuatan mereka juga itu dianggap sebagai satu pemandulan kepada usaha kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19.
Katanya, jika sebelum ini, mereka begitu beria-ia menulis dan berucap meminta kerajaan menangani COVID-19, tetapi hari ini mereka sendiri menterjemahkan kepentingan politik mereka semata-mata.
“Mereka adalah Ahli Parlimen, wakil rakyat dan kepimpinan di bahagian masing-masing, tetapi mereka sendiri tidak menunjukkan sifat-sifat kepimpinan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, seramai 107 MP pembangkang termasuk Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dikatakan berhimpun di Dataran Merdeka pagi tadi selepas gagal masuk Parlimen.