PASIR MAS | Pembinaan semula tembok yang runtuh di Kampung Pohon Celagi di sini, akan bermula bulan ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau dimaklumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mustapha Mohamed bahawa projek itu akan dimulakan bulan Ogos.
Katanya, Ahli Parlimen Jeli itu, beberapa kali menghubunginya dan akhirnya Khamis lalu mereka berjumpa sebelum hiruk-pikuk di Parlimen.
“Kami bersua seketika khusus untuk isu ini. Alhamdulillah, peruntukan RM60 juta telah diselesaikan prosedurnya oleh pihak kerajaan.
“Beberapa minggu lalu, saya juga telah bertanya terus kepada Menteri Kewangan berhubung isu ini. Rupa-rupanya, ketika itu isu peruntukan masih belum selesai sepenuhnya,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Ahmad Fadhli berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan atas kelulusan projek itu, namun kelambatan ia dimulakan juga sangatlah dikesali.
“Adakah akan siap tahun ini sebelum banjir? Wallahualam, jika tidak sempat siap, saya sangat-sangat harap kerajaan dapat bersedia dengan bantuan secukupnya jika banjir berlaku di bandar Pasir Mas tahun ini. Semoga dijauhkan Allah,” katanya.