KOTA BHARU | Trend peningkatan kes COVID-19 di Kelantan sejak akhir-akhir ini dipercayai disebabkan varian delta.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, varian berkenaan dikesan di Pasir Puteh dan
tidak menolak kemungkinan ia turut tersebar di daerah lain termasuk Bachok dan Tanah Merah.
Katanya, pihaknya sedang menunggu keputusan 74 sampel yang sedang diuji.
“Setiap hari kita ada kluster baharu kerana disebabkan virus sudah berada dalam komuniti.
“Pada masa sama, mungkin juga disebabkan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Vaksinasi Grand Riverview Hotel (GRV) di sini, hari ini.
Katanya, trend peningkatan kes di negeri ini begitu cepat dan meluas. Berkemungkinan varian delta ini bukan sahaja dikesan di Pasir Puteh tetapi ia juga berada di daerah lain.
Dr Zaini berkata, sehingga kini sebanyak 123 kluster aktif sehingga semalam.