by Nor Shazleza Shahril
KOTA BHARU | Pesakit positif COVID-19 yang mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) memerlukan sesi bimbingan dan kaunseling secara berkala bagi mengembalikan semula semangat mereka.
Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, untuk itu pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK).
“Menerusi kerjasama ini, JAHEIK menghantar imam dan ustaz yang bertauliah untuk datang ke PKRC dan memberikan ceramah secara berkala.
“Tidak dinafikan, sudah tentu ada di dalam kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan di PKRC mengalami gangguan dari segi emosi.
“Dengan pengisian ceramah yang diadakan secara tidak langsung dapat memberi sokongan kepada pesakit agar mereka lebih reda,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PKRC Institut Latihan Perindustrian (ILP), di sini, hari ini.
Terdahulu Dr Mohd Zurairie menerima sumbangan buah-buahan tempatan termasuk durian, manggis dan rambutan sebanyak dua tan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang Tanah Merah yang ditaja oleh Pengarah Urusan AK Puyuh Emas, Abdul Khairan Firdaus Abdul Rahim.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie berkata, dalam masa sama, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan sahaja tertumpu kepada petugas barisan hadapan, malah ia juga membantu pesakit untuk pulih daripada kesihatan mental.
“Bagi tujuan ini, pihak kami bekerjasama dengan mereka dan ada pasukan yang akan datang ke PKRC untuk memberikan kaunseling secara langsung kepada pesakit secara bekala.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini sebanyak 12 PKRC yang masih beroperasi di Kelantan.