IPOH | Polis Daerah Ipoh mengesan satu isu berkaitan kegiatan gengsterisme di Ipoh, Perak yang ditularkan di media sosial oleh seorang indvidu sehingga mendapat perhatian umum.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya memandang serius aduan yang diutarakan oleh individu itu.
Katanya, bagi mengesahkan kesahihan maklumat yang ditularkan di media sosial, satu pasukan siasatan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kesemua maklumat yang ditularkan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat, namun menasihatkan orang awam supaya tidak mendedahkan identiti peribadi dan membuat aduan sulit melalui kaedah tular di media sosial bagi tujuan keselamatan.
“Aduan dan maklumat tersebut sewajarnya dihantar melalui saluran yang betul ke pusat kawalan daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di KPDIPOH@RMP.GOV.MY,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Katanya, selain itu, segala maklumat mengenai kegiatan jenayah di Ipoh juga boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh melalui e-mel KBSJDIPOH@RMP.GOV.MY.