KUCHING | Polis menahan lelaki yang mengamuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Telaga Air, Pandawan di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pandawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.30 petang sebelum anggota kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Pandawan ke lokasi kejadian.
Katanya, polis mendapati suspek adalah lelaki berusia 30 tahun dan telah diserahkan oleh anggota keselamatan yang bertugas di kawasan PKPD Kampung Telaga Air kepada anggota MPV untuk tindakan lanjut.
Katanya, ketika kejadian (dalam video) pihak polis bersama anggota RELA dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang sedang bertugas di PKPD Kampung Telaga Air telah memujuk dan meminta lelaki itu supaya balik ke rumah tetapi suspek enggan berbuat demikian.
“Lelaki itu bertindak mengacukan kayu panjang ke arah anggota keselamatan dan berlaku pergelutan antara anggota keselamatan dengan suspek.
“Suspek berjaya ditangkap dan tidak berlaku kecederaan dan diserahkan kepada anggota MPV untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu dipercayai mengamuk kerana tidak berpuas hati kerana tidak boleh keluar dari kawasan PKPD.
Menurutnya, suspek diserahkan kepada Balai Polis Siburan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Lelaki itu direman selama empat hari sehingga Jumaat ini.
“Kita menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan PKPD supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.