PUTRAJAYA | Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Proklamasi Darurat ditamatkan pada 2 Februari 2022.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya mengambil maklum akan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, pada 31 Julai lalu pengisytiharan Proklamasi Darurat (Sarawak) oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Proklamasi ini hendaklah meliputi seluruh Negeri Sarawak mulai 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.
“Sehubungan itu juga, satu ordinan telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dikenali sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324.
“Di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.A) 324, memperuntukkan bagi tempoh darurat berkuat
kuasa peruntukan Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak bahawa Dewan Undangan Negeri terbubar selepas 5 tahun daripada mesyuarat pertamanya tidak mempunyai kesan,” katanya.
Ikmalrudin berkata, oleh yang demikian, memandangkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.UA) 323 yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai lalu dan peruntukan Seksyen 3(4) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324 maka Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri digantung dan hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi ini dibatalkan atau dungkaikan.