KUALA LUMPUR | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan, stok darah semakin berkurangan dan menekankan kepentingan pendermaan darah yang berterusan walaupun negara sedang menghadapi pandemik COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia bagi membantu pesakit yang memerlukan termasuk pesakit kecemasan seperti kemalangan atau komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang yang kekurangan darah, pesakit thalasemia, kanser, kegagalan buah pinggang serta mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal dan kompleks.
Katanya, sejak kebelakangan ini terdapat ramai pesakit COVID-19 terutamanya yang mempunyai latar belakang penyakit kronik turut memerlukan transfusi darah.
“Purata darah yang diperlukan setiap minggu untuk kegunaan pesakit di seluruh negara adalah sebanyak 14,000 beg darah, termasuk di Pusat Darah Negara (PDN) yang memerlukan antara 3,500 hingga 4,000 beg darah bagi pembekalan kepada hospital-hospital di Lembah Klang.
“Namun, peningkatan kes COVID-19 dari 31 Mei hingga 25 Julai 2021 (iaitu minggu epidemiologi ke-22 ke minggu epidemiologi 29) telah menyaksikan pengurangan kutipan darah yang ketara terutamanya di Lembah Klang berikutan penurunan bilangan penderma yang tampil menderma,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, antara faktor penurunan ialah kebimbangan masyarakat dan penderma darah terhadap keselamatan sepanjang proses menderma serta pembatalan kempen derma darah oleh penganjur.
Katanya, trend penurunan itu amat membimbangkan dan boleh menjejaskan keupayaan dalam perawatan pesakit.
“KKM melalui PDN dan Tabung-Tabung Darah sentiasa mengutamakan keselamatan penderma darah, penganjur kempen dan petugas dalam memastikan proses pendermaan darah yang selamat.
“Setiap tabung darah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19 iaitu memastikan penderma darah dan petugas kesihatan adalah sihat.
“Justeru, KKM menyeru orang ramai untuk segera tampil menderma darah di PDN, PDN Donation Suite, Midvalley Mall, Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10, Putrajaya dan Tabung-Tabung Darah yang berhampiran serta kempen derma darah bergerak bagi memastikan bekalan darah mencukupi di semua hospital serta menjadikan pendermaan darah sebagai satu budaya hidup sihat,” katanya.
Sila hubungi Unit Perhubungan Awam, Pusat Darah Negara di talian 03-26132657/2658/2776/2777 atau e-mel pro_pdn@moh.gov.my bagi maklumat lanjut dan perbincangan perancangan.
Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang http://www.pdn.gov.my serta facebook PDN KKM bagi maklumat berkaitan waktu operasi, lokasi kempen derma darah dan perkembangan perkaitan perkhidmatan derma darah.