KUALA LUMPUR | “Syabas dan senyumlah Nur Dhabitah,” kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasssin.
Beliau berkata, aksi dan tentangan yang dipamerkan Nur Dhabitah dalam final semalam adalah amat mengagumkan.
Katanya, biarpun tanpa pingat, kelibat dan aksi anak muda berusia 22 tahun itu nyata menghiburkan bersama semangat yang tidak mudah mengalah.
“Layak ke final dan berada di tempat keempat daripada 12 peserta dalam temasya sukan tersohor, Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga adalah satu kejayaan yang perlu anda banggakan.
“Jangan sedih. Perjalanan anda masih jauh. Masih banyak kejayaan yang boleh dilakar termasuk pada edisi Sukan Olimpik akan datang,” katanya.
Dhabitah bersaingan dalam acara akhir kategori 3 meter (m) papan anjal wanita individu di Pusat Akuatik Tokyo, semalam.
Penerjun itu menduduki tempat keempat selepas mengharungi lima pusingan dan berjaya mengumpul 326.15 mata.