KUALA LUMPUR | Parlimen Wanita Muda akan menghimpunkan seramai 222 orang belia selama dua hari pada 14 dan 15 Ogos ini bagi mendebatkan, membincangkan dan meluluskan usul berkaitan wanita.
Lebih membanggakan, program itu turut mendapat sambutan luar biasa daripada Pemimpin Wanita Muda Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli.
Melalui program ini, buat pertama kalinya negara akan disaksikan dengan perbahasan parlimen menggunakan bahasa isyarat oleh pembahas OKU Pendengaran.
Pemimpin belia, Dr Shatesh Kumar berkata, golongan wanita harus diberikan peluang untuk menjadi wakil rakyat serta ruang menerajui kepimpinan Negara.
Katanya, kini tiba masa untuk melipatgandakan usaha bagi merapatkan jurang antara pemimpin lelaki dan wanita dalam bidang politik.
“Pasca pandemik ini bukan sahaja perlu menekankan pemulihan ekonomi dan pelaburan negara tetapi kesaksamaan gender harus dititikberatkan seiring pembinaan Malaysia sebagia sebuah negara ideal dengan realiti dan norma baharu yang meraikan gender inklusiviti.
“Tujuan saya menyertai Parlimen Wanita Muda ini adalah untuk mewakili masyarakat Orang Asli, bukan sahaja kaum Semelai atau Jakun, bahkan kesemua 18 suku kaum Orang Asli di Malaysia.
“Wanita Orang Asli perlu diberi peluang untuk terlibat dalam pembangunan negara,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, platform Parlimen Wanita Muda itu adalah satu permulaan baik bagi melibatkan komuniti dalam arena pembuatan dasar.
“Saya ingin memperjuangkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli dari aspek ekonomi, pendidikan, sukan dan sosial budaya,” katanya.