KOTA BHARU | Pemberian sumbangan Bakul Prihatin Negara memberi sedikit kelegaan buat bekas pemandu syarikat swasta yang kehilangan pekerjaan sejak lapan bulan lalu akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.
Bagi Said Saad, 58, dia sebelum ini mengharapkan seratus peratus belas ihsan saudara dan jiran bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri serta dua anak berusia 20 dan 27 tahun yang turut tiada pekerjaan.
Katanya, dia bersyukur kerana kerajaan masih prihatin menjaga kebajikan rakyat dengan memberi sumbangan bakul makanan bernilai RM100.
“Selain bantuan saudara dan jiran, ini adalah kali pertama saya terima sumbangan daripada kerajaan.
“Saya sangat memerlukan bantuan seperti ini kerana ia sekurang-kurangnya boleh buat kami bertahan selama sebulan dengan bekalan makanan ini.
“Buat masa ini saya tiada pekerjaan dan masih mencari walaupun sekadar mengambil upah kerja kampung pun saya sanggup,” katanya kepada Journal Malaysia, di sini, hari ini.
Said antara 87 penerima Bakul Prihatin Negara yang disampaikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, di Bunut Payong, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamed Farid berkata, setakat ini sebanyak 328 bakul makanan menerusi program Bakul Prihatin Negara sudah diagihkan kepada penduduk di Parlimen Kota Bharu.
Katanya, BERSATU Kota Bharu dijangka akan menerima 1,000 bakul makanan bagi meringankan beban penduduk yang terkesan dengan Covid-19.
“Kita menerima bakul makanan secara berperingkat dan akan terus melakukan pengagihan kepda penduduk yang sudah tersenarai.
“Pemberian ini adalah menunjukkan Kerajaan PN sentiasa prihatin dengan nasib rakyat dan akan terus membantu mereka. Diharap bakul makanan ini dapat memberi sedikit kelegaan buat mereka yang terkesan dengan pandemik ini,” katanya.
Tamat