By Ismail Muhamad
TUMPAT | “Saya tidak mampu bekerja kerana menghidap sakit buah pinggang tahap lima sejak Mac lalu,” kata Mohd Faizal Zainal Abidin, 38, dari Kampung Pasir Pekan Hilir, di sini, semalam.
Dia berkata, isterinya, Noraini Mohd Zin, 34, pula tidak bekerja kerana menjaga dirinya sepenuh masa selain menguruskan keperluan empat anak mereka yang berusia lima hingga 14 tahun ternasuk tiga daripadanya masih bersekolah.
“Saya hargai setiap sumbangan dan bantuan yang diberikan mana-mana pihak kepada kami sekeluarga dalam keadaan diri saya yang tidak mampu bekerja akibat menghidap penyakit buah pinggang.
“Saya bersyukur kerana ada dikalangan ahli keluarga terdekat yang turut bersimpati dan membantu kami sekeluarga,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bantuan bakul makanan dan sejumlah wang tunai menerusi Op Bantu yang disampaikan Ketua Balai Polis Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Abd Halim Shafai di rumahnya di Kampung Pasir Pekan Hilir, di sini. semalam.
Mohd Faizal berkata, dia sekeluarga berterima kasih kepada pihak polis yang menyalurkan sumbangan berkenaan.
Katanya, bantuan itu besar ertinya kepada dirinya sekeluarga dalam keadaan hidupnya sekarang, lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan pandemik Covid 19.
Sementara itu, Abd Halim berkata, sumbangan menerusi Op Bantu berkenaan bagi meringankan beban keluarga terbabit yang terkesan ketika pandemik Covid-19.
Katanya, pihaknya memilih keluarga yang layak untuk menerima bantuan itu selepas mengenal pasti latar belakang mereka.
“Sumbangan yang disalurkan adalah barangan keperluan harian seperti beras, tepung gandum, biskut dan lain-lainnya.
“Kita juga menyampaikan sejumlah wang tunai untuk perbelanjaan keluarga berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Halim yang juga Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Geng Gatih Amal (GGA) memberitahu pihaknya akan memberi satu telefon pintar bagi kemudahan kepada tiga anak Mohd Faizal yang masih bersekolah.
Katanya, kemudahan itu diharap dapat membantu tiga anak Mohd Faizal bagi keperluan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).