KUALA LANGAT | Industri perkayuan negara dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM60 juta sehari kerana tidak dapat beroperasi selama dua bulan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kerugian itu hanyalah anggaran kasar tidak termasuk kontrak yang hilang kerana tidak boleh membekalkan komoditi tersebut kepada pelanggan, bahkan kontrak hadapan yang dijangka boleh masuk turut terjejas.
“Semua ini terganggu disebabkan oleh pelan (PKP) yang kita ada sekarang dan terpaksa bertahan untuk memastikan rakyat tidak berhadapan dengan penularan Covid-19 yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) di Olak Lempit di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS).
Mohd.Khairuddin berkata, sektor perkayuan berhadapan dengan keadaan yang tidak menggalakkan kerana tidak dapat beroperasi selama dua bulan dan telah menimbulkan kerisauan kehilangan kontrak-kontrak dan kehilangan pasaran, namun pemberian vaksinasi yang dijalankan membolehkan sektor tersebut maju kehadapan.
“Seramai 10,000 pekerja industri perkayuan dan perabot yang berada di sekitar Selangor akan divaksinasi di PPVIN MTC di Olak Lempit yang sebahagian besar mereka adalah warga asing.
“Permintaan sangat tinggi kerana pada peringkat awal kita menjangkakan 8,000 sahaja tetapi permintaan mencecah sampai 10,000 dan program ini akan kita gerakkan sehingga awal September nanti untuk dos pertama sehingga pertengahan Ogos dan dos kedua akan berakhir pada 18 September ini,” katanya.
Beliau berkata, sektor perladangan mempunyai 80,000 pekerja warga asing dan selepas divaksin, sektor perkayuan boleh memulakan operasi kerana telah mendapat dua dos vaksinasi.
Katanya lagi, beliau berharap dengan kejayaan vaksinasi dua dos untuk sektor perkayuan maka sektor tersebut boleh beroperasi lebih cepat untuk memastikan hasil negara akan terus berlangsung.
Mengulas lanjut, dalam menyokong usaha kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi ini, pihak industri digalakkan terlibat secara langsung sebagai pemudah cara dengan mewujudkan PPVIN sendiri di lokasi yang bersesuaian, setelah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).
“Bagi syarikat yang berada di bawah sektor agrikomoditi, permohonan menyertai Program VACOMS boleh dibuat melalui KPPK sekiranya syarikat mempunyai jumlah pekerja sekurang-kurangnya 1,000 orang atau bergabung dengan syarikat lain bagi mencukupkan bilangan tersebut,” katanya.
Beliau menambah, MTC telah memberi subsidi sebanyak RM30 untuk setiap pekerja dan kakitangan industri terlibat.
Ujarnya lagi, vaksin Sinovac diberi percuma oleh Kerajaan, syarikat cuma perlu membayar kos pengurusan iaitu sekitar RM70 sahaja. -UTUSAN ONLINE