KOTA BHARU | Walaupun pelbagai usaha yang dilakukan oleh pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun kerajaan pada hari ini masih lagi kukuh.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, kerajaan masih berdiri teguh dengan izin Allah SWT.
“Perhimpunan Ahli Parlimen dan individu di Dataran Merdeka semalam, ia salah satu usaha untuk menjatuhkan kerajaan PN walaupun kes COVID-19 masih lagi tinggi di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Penerangan PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan, jika usaha menangani pandemik COVID-19 sebagai perkara lebih mustahak, pembangkang tidak akan sanggup merisikokan diri dengan berkumpul di ibu kota semata-mata untuk menunjukkan bantahan.
“Apa yang disebut Wan Saiful, mereka meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan masyarakat terutama untuk memerangi COVID-19,” katanya ketika ditemui di Pejabat BERSATU Kota Bharu di sini.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, kerajaan PN juga masih lagi berdiri teguh dengan izin Allah SWT.
Menurutnya, kepimpinan negara dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan pelbagai stimulus dan pakej rangsangan untuk membantu rakyat termasuk memberi bakul makanan.
“Ianya bagi meringankan beban rakyat ketika berdepan dengan pandemik COVID-19. Rakyat rata-rata menghargai usaha kerajaan pada masa ini dan ramai yang mendoakan supaya kerajaan kekal.
“Saya menyeru kepada semua rakyat di luar sana supaya terus memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri dan beri sokongan kepada PM serta terus berdoa dan istiqamah walaupun banyak halangan.
“Kerajaan akan memimpin untuk menangani pandemik COVID-19 dan mengutamakan rakyat dalam setiap hal,” katanya.