KOTA BHARU | Kerajaan Negeri Kelantan menjangkakan kes COVID-19 di negeri ini akan turun kembali dalam tempoh dua minggu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, peningkatan kes COVID-19 dijangka meningkat dalam tempoh sebulan selepas Aidiladha sebelum ianya turun kembali.
“Kita bersedia lebih awal untuk menghadapi situasi peningkatan kes apabila menyediakan fasitili kesihatan terutama hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang mencukupi serta terkawal.
“Setakat ini, hospital dan PKRC yang ada mampu menampung jumlah pesakit.
“Peningkatan kes itu disebabkan beberapa faktor termasuk pematuhan prosedur operansi standard (SOP) yang semakin lemah di kalangan rakyat Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Islam Panji, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, selain itu, kewujudan varian delta di negeri ini juga amat membimbangkan dan kerajaan negeri mengambil langkah segera dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang merekodkan kes tinggi.
Katanya, varian delta sangat berbahaya kerana boleh berjangkit melalui udara dan kerajaan berharap semua penduduk mematuhi SOP yang ditetapkan.