By Nor Shazleza Shahril
MACHANG | Pandemik Covid-19 nyata tidak menjadi halangan bagi pasangan suami isteri mencuba bidang perniagaan kopi jalanan dengan menggunakan van klasik di Lorong Desa Permai di sini demi mencari pendapatan sampingan.
Mohd Amirul Afif Zulkifli, 32 tahun berkata, idea dan ilham untuk menjalankan perniagaan ini timbul sejak pandemik yang melanda membuatkan dia ingin terus berusaha untuk menambah pendapatan selain daripada bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
“Kita semua sedia maklum di zaman Covid-19 ini untuk dapatkan rezeki memang sangat susah, ramai yang diberhentikan kerja, gaji bulanan dipotong dan disebabkan situasi yang berlaku sekarang memerlukan saya untuk mencuba perkara baru walaupun pada permulaan perniagaan sangat susah.
“Hasil perbincangan bersama isteri, kami bersetuju untuk mencuba perniagaan ini yang telah bermula sejak bulan Mei yang lepas, dan pada permulaan kami membuka van ini di kawasan rumah sahaja.
“Dengan modal permulaan berjumlah lebih RM20,000, saya membeli van ini daripada kawan dan membeli peralatan membancuh kopi sedikit demi sedikit.
“Ubahsuai dalam van pula dilakukan sendiri bagi memudahkan operasi perniagaan ini dijalankan selain mampu menarik minat penggemar kopi untuk merasai kelainan kopi di van kami.
“Penduduk di kawasan ini juga menyambut baik perniagaan kami malah saya sendiri terkejut dengan permintaan yang tinggi daripada pengemar kopi walaupun baru sahaja memulakan perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambah Amirul, perniagaan kopi jalanan menggunakan van di luar bandar merupakan perkara baru malah perniagaan seperti ini hanya boleh dilihat di kawasan bandar sahaja.
“Kelainan yang kami tonjolkan selain daripada van yang diubah suai menjadi gerai kopi, setiap kopi yang di bru juga dijual dengan harga mampu milik dengan kelazatan kopi yang sangat istimewa.
“Nasihat saya kepada mereka di luar sana , jangan pernah putus asa atau takut untuk memulakan perniagaan kerana setiap apa yang kita lakukan kelak, Insyallah akan dipermudahkan,” katanya.