RANTAU PANJANG | Penduduk beberapa kampung yang berdekatan Sungai Golok dikejutkan dengan bunyi tembakan dan letupan bom yang kuat awal pagi tadi.
Tembakan dan letupan bom itu dipercayai akibat kejadian satu serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata sebuah pos kawalan di Tak Bai, Narathiwat dalam kejadian pada kira-kira jam 2.20 pagi ini (waktu tempatan).
Antara kampung yang mendengar letupan dan tembakan itu termasuk Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Bakong dan Kampung Mok Ngibi.
Penduduk Kampung Mok Ngibi, Siti Rokiah Ahmad, 63, berkata, dia mendengar bunyi letupan yang kuat sebanyak beberapa kali pada jam 3 pagi dan menyebabkan rumahnya bergegar.
Katanya, sebaik mendengar bunyi itu dia terjaga dari tidur dan beranggapan tayar lori yang sedang membuat jalan bersebelahan rumahnya pecah.

“Namun, sangkaannya meleset kerana bunyi itu adalah tembakan dan letupan di negara jiran.
“Saya bimbang juga dengan keselamatan diri dan keluarga kerana rumah berada sangat dekat dengan Sungai Golok iaitu dalam jarak 50 meter sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, anggota renjer maut dan empat lagi parah dalam satu serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah pos kawalan di Tak Bai, Narathiwat dalam kejadian pada kira-kira jam 2.20 pagi ini (waktu tempatan).
Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak berkata, sekumpulan lelaki bersenjata itu melontar sekurang-kurangnya 10 butir bom paip, dan melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pos kawalan itu yang mana sepasukan lapan anggota renjer bertugas.