KOTA BHARU | Pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lalu memberi kesan kepada peniaga pasar malam
di negeri ini yang hilang punca pendapatan.
Keadaan itu menyebabkan kehidupan mereka terhimpit kerana hanya boleh beroperasi beberapa bulan sahaja dalam tempoh setahun yang disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Parit Dalam, Mohd Kamaruddin Abu Bakar, 53, berkata, dia dan peniaga pasar malam yang lain kini hilang punca pendapatan.
Katanya, pasar malam berkenaan terdapat 160 peniaga yang kini hilang punca pendapatan.
“Mereka tidak dibenarkan beroperasi sejak April lalu untuk tahun ini dan tahun lalu juga hanya beberapa bulan sahaja beroperasi disebabkan COVID-19.
“Jika sebelum ini peniaga mampu memperoleh pendapatan hampir RM2,000 sebulan, namun kini mereka hilang pendapatan kerana tidak dibenarkan membuka gerai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Islam Panji, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia yang berniaga baju turut terkena tempias apabila hilang pendapatan dan bergantung kepada anak yang sudah bekerja untuk menanggung keperluan harian.
Mohd Kamaruddin berkata, dia berharap kerajaan negeri mengambil inisiatif mengadakan rundingan atau perbincangan dengan pihaknya bagi membolehkan mereka beroperasi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, pihaknya akan mempercepatkan vaksin kepada peniaga di Kelantan sebagai langkah persediaan negeri itu beralih kepada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).