KOTA BHARU | Tindakan perarakan yang sengaja dilakukan oleh 107 Ahli Parlimen (MP) di Dataran Merdeka disifatkan sebagai satu pencabulan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, perarakan yang berlangsung semalam dilihat sudah dirancang lebih awal.
“Apa yang berlaku semalam, saya rasa rakyat boleh menilai dan melihat sendiri gelagat MP pembangkang yang bertindak melakukan pencabulan terhadap SOP PKP yang ditetapkan.
“Malah bagi saya perarakan tersebut dirancang lebih awal kerana mereka yang turut serta sudah menyiapkan kain rentang dan pembesar suara terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika di temui di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Bharu selepas menyampaikan kotak makanan daripada PTPTN kepada pelajar asnaf, hari ini.
Katanya, disebabkan keterdesakan ingin menjatuh kerajaan, mereka sanggup turun ke jalanan untuk berdemonstrasi.
“Ada antara peserta yang mengikuti perarakan tersebut seorang yang bertaraf negarawan dan sangat-sangat kita hormati iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Disebabkan terdesak untuk menggulingkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau sanggup membawa dirinya ke jalanan yang kita kata sebagai ‘street fighter atau pun ‘street demonstrator’,” katanya.
Mohamed Farid yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu berkata, sudah banyak laporan polis dibuat terhadap peserta perarakan semalam termasuk di Kota Bharu sendiri.
“Saya berharap pihak polis menyiasat perkara tersebut dan sekiranya dikenakan kompaun, berikan yang paling maksima agar menjadi contoh kepada rakyat.
“Kalau penjual burger contohnya boleh dikenakan kompaun maksima , ini pula yang berhimpun dengan sengaja sepatutnya boleh dikenakan kompaun pada tahap maksima,” katanya.
Semalam, Seramai 107 MP pembangkang termasuk Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dikatakan berhimpun di Dataran Merdeka selepas gagal masuk Parlimen.
Dalam satu kenyataan lain, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim, polis akan memanggil semua MP dan individu yang terbabit dalam perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka, semalam.
Katanya, semua mereka akan dirakam percakapan sebelum polis melengkapkan kertas siasatan yang akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.